Saya terpanggil untuk menulis tentang isu ini, saya seperti mahu melupakan apa yang saudara Yong Teck Lee, iaitu presiden Parti Progresif Sabah katakan dalam akhbar hari ini. Tetapi, saya betul-betul kesian dengan kawan Sabahan kita, mereka begitu terpinggir dengan mata dan telinga mereka tertutup untuk melihat dan mendengar perkara-perkara yang berlaku disekeliling mereka.
Merujuk pada akhbar "The Star" 17 March 2008, saudara Yong telah menegur pemimpin Umno dan pemimpin DAP yang mempersoalkan DEB, Dasar Ekonomi Baru. Saudara Yong telah menegaskan DEB tidak wujud lagi kerana telah digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional pada tahun 1990. Tetapi saudara Yong sudah lupa atau sengaja tidak peduli, DEB adalah sinonim dengan DPN. Orang Cina kata "LP atau PL" sahaja. Apakah sesudah DPN dilaksanakan orang bukan Melayu tidak ditindas. Apakah yang berubah? Dasar ini adalah untuk memperkayakan golongan elit Melayu yang rata-ratanya mempunyai pertalian darah atau kroni pemimpin Umno. Ya, pemimpin-pemimpin parti komponen BN pun boleh tumpang sekaki.
Saudara Yong sudah lupa...saudara sendiri pun telah diperalatkan untuk kepentingan politik Umno. Dulu orang bukan Melayu menjadi Ketua Menteri Sabah, kemudian timbul sistem giliran semata-mata untuk membolehkan orang Melayu menguasai Sabah. Siapa Ketua Menteri Sabah sekarang?
Orang Sabah bukan semuanya jahil dalam politik, mungkin masanya belum sampai. Orang Sabah sekarang adalah dalam golongan rakyat paling miskin di Malaysia. Betul tak?
Rakyat sudah bosan dengan pemimpin parti yang hanya menjaga kedudukan diri sendiri. Pemimpin parti-parti komponen BN kebanyakannya takut untuk menyuarakan kepentingan dan masalah kaum masing-masing. Contoh pemimpin sebegini adalah saudara Ong Ka Ting, orang cina sudah muak dengan gaya kepimpinan yang senyap sunyi, seolah-olah semuanya ok!
Sehinggalah Pilihan Raya baru-baru ini benar-benar memperlihatkan suara sebenar rakyat terhadap pemimpin-pemimpin BN, nasib baik penyakit ini belum berjangkit ke Sabah dan Sarawak, kalau tidak Pak Lah pun kena balik kampung tanam ubi untuk program Pembangunan Koridor Utara.
Memang, percaturan politik itu sangat jelas tetapi orang Sabah tidak nampak atau menunggu masa yang sesuai untuk bertindak, saya tiada hak untuk menasihat pemimpin negara tetapi sebagai pemimpin, tolonglah jangan terlalu angkuh dengan kedudukan hari ini, jangan biar pisang berbuah dua kali.