Selasa, 16 Mac 2010

Pengajian Moral di sekolah?

Mengapa hanya bukan Melayu yang perlu belajar moral? Moral baik untuk semua...Mengapa tidak semua subjek duniawi di sekolah-sekolah diseragamkan agar lahirnya satu budaya yang sama dalam satu Malaysia?

Satu Malaysia memerlukan satu bahasa, satu budaya dan satu moral kerana semuanya berlandaskan nilai-nilai murni satu-satu bangsa. Agama tidak mungkin disatukan tetapi ajaran moral boleh disatukan menjadi nilai-nilai penting yang perlu ada pada seseorang insan yang bergelar warganegara.

Kementerian Pelajaran perlu menilai semula peranan agama di sekolah-sekolah. Kalau agama itu penting, ia sepatutnya diasingkan daripada subjek peperiksaan kerana soal agama terlalu sensitif untuk dibincangkan di sekolah-sekolah. Bagaimana seorang ustaz boleh mengutuk agama lain di sekolah yang berbilang bangsa atau mengecap orang bukan Melayu sebagai kafir di hadapan murid-murid berbilang bangsa?

Kalau kerajaan ingin memupuk satu sekolah, satu bangsa maka subjek agama atau kelas agama perlu diasingkan daripada sekolah sekular. Ia sepatutnya menggunakan subjek moral untuk mendidik nilai-nilai baik dan murni seorang warganegara. Biarlah sekolah agama mengurus subjek agama.

Kepentingan perpaduan lebih penting daripada kepentingan agama kerana itu subjek agama perlu dicantas segera untuk menarik mereka bukan Islam untuk belajar di sekolah kebangsaan.
Selagi sekolah kebangsaan mempunyai subjek agama, ia menjadi salah satu penghalang ke arah perpaduan Nasional.

Begitu juga sekolah Vernikular yang menekankan bahasa Cina / India sebagai bahasa pengantara, semua ini hanya akan melebarkan jurang bahasa antara kaum kerana orang Cina, cakap Cina, orang India cakap India dan orang Melayu cakap Melayu. Bahasa adalah simbol perpaduan negara, macam mana nak menyatukan bangsa kalau bahasa pun berbeza. Tersilap dengar pun boleh menyebabkan pergaduhan antara kita.

Bangunlah segera wahai Barisan Nasional, sistem lama tidak berguna. Sikap berlindung di sebalik quota dan amalan menagih simpati tidak boleh membantu memajukan bangsa dan negara. Agama hanya satu alat manusia, agama dijadikan alasan untuk berperang dan membunuh antara satu sama lain, kalau kita mengenepikan agama demi perpaduan, kita boleh lebih maju ke hadapan. Dunia pun lebih aman.