Rabu, 30 Disember 2009

Apa guna adanya Jabatan Perpaduan?

Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional yang kini diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri adalah jabatan utama yang seharusnya diperalatkan untuk merapatkan jurang perkauman dan kemajmukan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan keturunan, tetapi lihatlah peranan jabatan ini yang hanya berfungsi sebagai penganjur aktiviti-aktiviti kebudayaan serta pesta-pesta yang membazirkan wang rakyat.

Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional cuma sekadar nama kerana tiada tindakan atau perancangan teliti untuk melihat negara Malaysia bersatu sebagai satu Bangsa Malaysia.
Ia sepatutnya berdiri sebagai satu kementerian tunggal, satu entiti pengawasan yang berfungsi memantau jurang perbezaan kaum dan agama di Malaysia.
Tidakkah kerajaan sedar masyarakat kini semakin berpecah?
Tidakkah kerajaan sedar sekarang tiada lagi pelajar bukan Melayu di sekolah Kebangsaan?
Tidakkah kerajaan sedar orang Melayu tidak lagi minum dan makan di rumah bukan Melayu?
Tidakkah kerajaan sedar bahawa persepsi Melayu terhadap bukan Melayu semakin berprajudis? Seolah-olah semua bukan Melayu adalah pendatang dan semua Melayu adalah Bumiputera?
Tidakkah kerajaan sedar orang bukan Melayu kini sukar atau kekok untuk duduk dan makan semeja dengan orang Melayu?

Kalau agama itu memecahbelahkan umat, buat apa beragama?
Kalau dasar itu menguntungkan satu pihak sahaja, perlukah ada dasar?
Kalau pihak yang salah dipuja dan diagung-agungkan, yang malas dibantu dan diberi subsidi, yang benar, rajin dan baik pula dihukum...buat apa berkerajaan?
Wahai kerajaan, mengapa perlu ada assabiyah di kalangan kita? Mengapa meritokrasi tidak diutamakan? Di manakah golongan pemikir-pemikir agung? Atau adakah negara kita sudah tiada golongan pemikir agung yang mulia dan tidak berat sebelah?

Semua persoalan ini menjurus kapada satu permasalahan besar dalam politik negara ini.
Malaysia diterajui oleh golongan yang hanya menjaga kedudukan dan status yang rapuh.
Cara dan bagaimana golongan pemimpin ini dapat memegang tampuk kepimpinan negara telah menentukan bagaimana corak kepimpinan negara hari ini...bilakah anda hanya mahu lihat dan tunggu kerajaan berubah, anda perlu segera menentukannya!

Sabtu, 13 Jun 2009

Revolusi Jalan Raya di Malaysia

Sudah tiba masanya kerajaan Malaysia memperuntukkan sejumlah belanjawan untuk melebarkan jalan-jalan utama di Malaysia. Sudah tiba masanya JKR bergerak secara telus dan serius dalam memperbaiki kemudahan infra struktur negara.
Senario jalan raya hari ini;
  • Jalan sempit - lebuhraya dua (2) lorong sudah ketinggalan zaman.
  • Jalan berlubang - sampai ada orang mati kerananya.
  • Jalan berselekoh bahaya - selekoh sempit dan curam
  • Tiada tanda amaran mencukupi
  • Tiada kajian mendalam untuk memperbaiki mutu jalan raya
  • Kontraktor yang membaiki jalan kadang-kadang perlu pinjam peralatan untuk membina jalan, ye tak? Salah siapa sudah tak penting...
Banyak lagi boleh ditulis sehingga berjela-jela pasal kelemahan jalan raya hari ini,
Tetapi semenjak tugas JKR kini dipikul oleh Menteri Baru, kita mahu lihat apakah perubahan yang bakal beliau lakukan?
Impian kita yang paling utama ialah melihat adanya "Lebuh Raya AutoBahn Malaysia".

Tetapi kita cukup puas hati sekiranya kerajaan mampu memberi ;
  • Lebuh Raya Kuala Lumpur ke Kota Bharu, mesti sekurang-kurangnya empat (4) lorong dari mula sampai akhir.
  • Lebuh raya Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu, mesti sekurang-kurangnya empat (4) lorong dari mula sampai akhir.
  • Lebuh raya ke mana-mana Bandar Besar, mesti empat lorong. Tengok jalan di Thailand, walaupun mundur sedikit, tetapi jalan raya dari selatan Thai ke Bangkok begitu kemas, lurus dan lebar.
Kita perlu mencapai taraf negara maju, tetapi kita belum ada platform yang kukuh untuk maju.
Macam mana kita hendak membuat kereta yang berkuasa tinggi kalau kita tiada trek untuknya.
Projek Mega seperti membina bangunan, tugu, litar lumba dan jambatan bengkok menjadi tidak penting sekiranya kita tidak mempunyai jaringan jalan raya yang lebar dan kukuh serta selamat.
Tolonglah turun padang semasa cuti perayaan atau cuti sekolah, bawalah kereta sendiri dan rasailah bagaimana memandu di Jalan Raya Malaysia, cubalah guna jalan-jalan yang anda gelar "lebuh raya" itu...

Sabtu, 10 Januari 2009

Israel & Palestine: Mengapa pilih untuk berperang?

Perang adalah kesukaan sesetengah manusia. Manusia yang suka berperang ialah manusia yang penuh dengan ego dan sentiasa menolak perdamaian kerana egonya tidak dapat dipenuhi. Kita hanya melihat dari jauh bagaimana dua kumpulan manusia berebut sekeping tanah atas nama tuhan masing-masing? Sampai bila nak berperang? Bila ada kematian lebih-lebih lagi anak kecil dan kaum wanita, maka gambar mereka dipaparkan untuk menunjukkan kekejaman di sebelah pihak. Peperangan tidak bermula dengan satu pihak, setiap tindakan ada tindakbalas. Kedua-dua pihak perlu disalahkan apabila berlaku peperangan. Pemimpin-pemimpin yang menganjurkan peperangan perlu dihapuskan dulu sebelum orang awam menjadi mangsa perang. Kerana peperangan tidak seharusnya berlaku. Sampai bila nak berperang?
Simton orang suka berperang...
1. Hanya dia yang betul, orang lain semua jahat.
2. Semua agama tak betul kecuali agama dia. Jadi mereka yang tidak seagama itu adalah musuh.
3. Apa-apa perjanjian yang dibuat mesti mengikut kepentingan diri dan agama melebihi kepentingan orang lain dan agama orang lain.
Macam mana kaum Yahudi dapat berbaik-baik dengan orang Islam kalau dalam kitab sudah tertulis yang kaum Yahudi itu jahat?Bolehkah manusia mengetepikan fahaman/ kepercayaan masing-masing demi keamanan dunia?
Keamanan memerlukan pengorbanan. Tetapi pengorbanan bukan dari segi wang ringgit, bukan dari segi darah dan nyawa tetapi pengorbanan "agama". Sebab itu saya percaya perang antara orang Yahudi dan orang Islam boleh dihentikan sekiranya semua meletakkan agama di belakang dan menumpukan kepada kebajikan rakyat serta ekonomi negara. Mengapa tidak kedua-dua negara mencari jalan membuat perjanjian yang akan memajukan sektor industri dan pertanian negara masing-masing? Mengapa tidak boleh?

Sekiranya semua mendahulukan agama masing-masing, maka peperangan hanya boleh dihentikan sekiranya...
1. Orang Israel bunuh semua penganut Islam
2. Orang Islam bunuh semua orang Yahudi.
3. ataupun biar Bumi ini hancur, maka tiada lagi Yahudi dan Islam. Cuma tinggal orang Bumi - satu kaum saja.

Memang saya pun hairan bagaimana orang suka sangat pergi tunjuk perasaan sana sini, menimbulkan ketegangan kaum, ceramah yang membakar semangat benci-membenci dan mengebom sana sini. Saya sendiri tidak mempunyai cukup masa untuk bekerja dan meluang masa untuk keluarga, bagaimana orang yang pergi tunjuk perasaan mempunyai banyak masa dan wang? Tidakkah mereka perlu bekerja untuk menyara diri dan keluarga? Tidakkah mereka perlu berada di samping anak-anak dan keluarga?
Bagaimana kita ingin mengelakkan perang? Susah, memang susah.
Sistem pemerintahan sesetengah negara membenarkan pengangguran bergaji sehinggakan penduduknya terlalu bebas untuk buat apa saja.
Sistem pendidikan yang lemah pula menghasilkan warga negara yang lemah dalam pemikiran logik lantas membawa kepada ketaksuban dan buta ilmu. Ramai kalangan pejuang yang fanatik sebenarnya tidak dapat berfikir secara rasional, seolah-olah gila dalam mencari kebenaran. Maka mereka ini diperalatkan oleh golongan tertentu untuk mengejar cita-cita politik masing-masing. Golongan yang buta ilmu hanya nampak apa yang diajar dan disuruh oleh ketua/ guru masing-masing tanpa mempersoalkan logik dan relevennya satu-satu tindakan itu.
Sampai bila nak berperang? Kalau agama itu boleh menyebabkan peperangan dan kematian...buat apa beragama? Tuhan mahu kita berbaik-baik bukan bermusuhan, adakah Tuhan mahu kita membunuh satu sama lain untuk Tuhan? Fikirkanlah?