Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional yang kini diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri adalah jabatan utama yang seharusnya diperalatkan untuk merapatkan jurang perkauman dan kemajmukan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan keturunan, tetapi lihatlah peranan jabatan ini yang hanya berfungsi sebagai penganjur aktiviti-aktiviti kebudayaan serta pesta-pesta yang membazirkan wang rakyat.
Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional cuma sekadar nama kerana tiada tindakan atau perancangan teliti untuk melihat negara Malaysia bersatu sebagai satu Bangsa Malaysia.
Ia sepatutnya berdiri sebagai satu kementerian tunggal, satu entiti pengawasan yang berfungsi memantau jurang perbezaan kaum dan agama di Malaysia.
Tidakkah kerajaan sedar masyarakat kini semakin berpecah?
Tidakkah kerajaan sedar sekarang tiada lagi pelajar bukan Melayu di sekolah Kebangsaan?
Tidakkah kerajaan sedar orang Melayu tidak lagi minum dan makan di rumah bukan Melayu?
Tidakkah kerajaan sedar bahawa persepsi Melayu terhadap bukan Melayu semakin berprajudis? Seolah-olah semua bukan Melayu adalah pendatang dan semua Melayu adalah Bumiputera?
Tidakkah kerajaan sedar orang bukan Melayu kini sukar atau kekok untuk duduk dan makan semeja dengan orang Melayu?
Kalau agama itu memecahbelahkan umat, buat apa beragama?
Kalau dasar itu menguntungkan satu pihak sahaja, perlukah ada dasar?
Kalau pihak yang salah dipuja dan diagung-agungkan, yang malas dibantu dan diberi subsidi, yang benar, rajin dan baik pula dihukum...buat apa berkerajaan?
Wahai kerajaan, mengapa perlu ada assabiyah di kalangan kita? Mengapa meritokrasi tidak diutamakan? Di manakah golongan pemikir-pemikir agung? Atau adakah negara kita sudah tiada golongan pemikir agung yang mulia dan tidak berat sebelah?
Semua persoalan ini menjurus kapada satu permasalahan besar dalam politik negara ini.
Malaysia diterajui oleh golongan yang hanya menjaga kedudukan dan status yang rapuh.
Cara dan bagaimana golongan pemimpin ini dapat memegang tampuk kepimpinan negara telah menentukan bagaimana corak kepimpinan negara hari ini...bilakah anda hanya mahu lihat dan tunggu kerajaan berubah, anda perlu segera menentukannya!