Khamis, 16 Disember 2010

Malaysian Must see!!! Namewee 1Malaysia story 黃明志要見首相!




Ini satu lagi contoh kegagalan 1Malaysia...
Mengapa kerajaan perlu takut Namewee?
Kegagalan memang terlalu nyata...
Lihatlah iklan oleh kerajaan seperti iklan kempen membaca, kempen kebersihan, kempen oleh Filem Penerbitan Negara sungguh memalukan kerana kerjanya seperti melepaskan batuk di tangga...

Jumaat, 24 September 2010

Mengapa perlu meletak Melayu selepas Malaysia?

Merujuk kepada tajuk di atas, bukan saja Melayu yang patut buat begitu? Bukan Datuk Nazri saja yang patut melafazkan ayat ini, semua rakyat Malaysia patut melafazkan ikrar ini sebagai salah satu rukun negara yang keenam.
Di manakah letaknya keutamaan anda sebagai warganegara yang bertanggungjawab selagi anda terutama perwakilan yang dilantik untuk mewakili rakyat Malaysia hanya membantu sesama sendiri tetapi melupakan mereka yang tidak seagama atau tidak sekulit dengannya?
Ucapan PM sehingga ke PBB begitu meyakinkan dunia bahawa kita telah menuju ke arah pendamaian yang hakiki. Seruan PM Najib agar dunia mengamalkan kesederhanaan dalam beragama telah mengorak langkah pertama ke arah dunia tanpa sempadan agama,tanpa sempadan negara dan tanpa sempadan ideologi. Ini kerana dunia hari ini sudah lama berperang kerana agama, ideologi, kepercayaan dan ketaksuban yang melampau.
Tetapi selagi ia tidak dipraktikkan, semua hanya menjadi NATO - No Action Talk Only. Sejauh manakah kita mahu melihat pelaksanaannya berjalan, adakah kita bersungguh mahu melihat idea ini dilaksanakan di Malaysia sendiri?
Di manakah jabatan, pegawai dan AJK yang sepatutnya memantau perkara ini?
Apakah target-target masa yang mengukur kejayaan idea ini? NKRA untuknya?
Siapakah yang akan memegang tanggungjawab ini?
Bagaimana kalau ada tentangan, apakah kita sudah bersedia?
Wawasan tinggal wawasan...
kerana yang membuat wawasan pun mungkin sudah tiada lagi untuk melihat kegagalan sendiri...
Media hari ini pun suka memberi publisiti kepada puak pelampau seperti Perkasa dan Persatuan Cina yang melampau. Kesemua palampau tidak patut dibantu dari segi rohani dan jasmani apatah lagi diberi ruang dan peluang dalam media massa. Kerajaan perlu lebih aktif memantau publisiti ini kerana sentimen yang dibawa oleh pelampau hanya akan memburukkan lagi keadaan.
Itulah masalahnya PM, hanya bercakap tetapi di mana mekanisme untuk merealisasikan matlamat 1Malaysia??? Saya tidak nampak pun...
Yang kita mahu bukan yang terbaik dari Melayu, terbaik dari Cina atau Terbaik dari India...tetapi kita mahu yang terbaik dari rakyat Malaysia!!

Khamis, 17 Jun 2010

Kepada Mereka Yang Bukan Bumiputera.

Sudah sampai masanya kita memilih untuk mereka yang melindungi kepentingan orang ramai dan bukannya melindungi kaum sendiri atau ahli keluarga sendiri.

Kita ada kuasa memilih, wahai orang bukan Bumiputera di Pasir Mas Kelantan, sudah sampai masanya anda menolak seorang pemimpin ekstremis yang ternyata bermain api perkauman. Kononnya Perkasa dapat perjuangkan hak orang Melayu...
Sampai bila kita perlu berpuak-puak? Memang betul kita perlu melindungi golongan yang lemah tetapi ini tak bermakna kita perlu menggadaikan kepentingan umum demi kepentingan diri. Di manakah integriti kita sebagai manusia sekiranya kita asyik menghukum mereka yang tak bersalah.

Mahathir berasal dari India, jadi tidak hairanlah jika dia masih sukakan sistem kasta. Mahathirisme suka membeza-bezakan umat manusia. Lihatlah caranya memerintah, bukannya ke arah perpaduan tetapi ke arah berpuak-puak. Ditubuhnya Bank Islam untuk apa? Bank dan agama tidak patut ada bersama. Biarlah agama itu mengajar manusia ke arah kebaikan, kalau bank perlu berbuat baik, bukankah lebih baik tubuh badan kebajikan Islam, bukannya Bank Islam.
Apa jadi kalau, orang Kristian tubuh Bank Kristian, orang Hindu pula tubuh Bank Hindu, orang Buddha tubuh Bank Buddha dan orang Bahai tubuh Bank Bahai.
Bukan salah agama Islam, mengapa orang Islam hari ini rata-rata bertempur dengan pihak pemerintah bukan Islam. Tetapi salah penganutnya yang lemah dalam mentafsif agama sendiri. Perpecahan mazhab telah menyukarkan pengawalan mutu dan pengawalan emosi masyarakat Islam, di mana-mana saja fatwa boleh dikeluarkan, di mana-mana saja khutbah boleh berkumandang maka di mana-mana saja boleh terseleweng daripada akidah sebenar agama Islam.

Mengapa perlu ada assabiyah? Buat apa ditubuh institusi yang berpuak-puak, macam juga masyarakat Cina tubuh Persatuan Lim, Persatuan Tan dan Persatuan Ong. Cara berpuak ini sudah ketinggalan zaman, kita tak perlu hidup berpuak untuk maju tetapi kita perlu melihat kualiti, merit dan integriti dalam menilai seseorang, dengan cara ini barulah negara akan menjadi maju kerana lebih banyak kecermerlangan akan wujud hasil pemilihan baka-baka terbaik untuk mentadbir urus negara, begitu juga dari segi cendikiawan negara, kita hanya mampu maju sekiranya yang mengajar kita tahu apa yang diajar dan bukannya menjadi pensyarah kerana dia Melayu, dia Bumiputera, dia sahabat Menteri, dia kenal Dekan Fakulti atau dia kroni sesiapa.
Kalau Malaysia mahu maju, lupakan warna kulit, lupakan agama apa, lupakan fahaman apa cuma ingatkan bahawa kerja mesti kemas, cekap, tiada korup dan berkhidmat untuk semua masyarakat kerana masyarakat yang ada hak mengundi.

Seorang ada satu undi, kalau anda tak mahu ditindas, pilihlah pemimpin yang adil dan tidak hanya memihak satu kaum sahaja. Anda sememangnya ada kuasa untuk memilih, jangan kerana diberi kain pelikat, basikal, wang ang paw atau buah oren, anda lupa hak anda, ingatlah undi anda menentukan kehidupan anak kecil anda hari ini, undi anda bukan semata-mata untuk anda sahaja. Walaupun kita orang kampung, jangan lah mudah diperbodohkan, fikir baik-baik sahabat, sampai bila mahu ditindas oleh pemimpin-pemimpin yang korup?

Khamis, 10 Jun 2010

Saya Pun Rakyat Malaysia

Saya terpanggil untuk membaca buku "Saya Pun Melayu" tulisan Saudara Zaid Ibrahim. Buku itu mencerminkan sifat beliau yang benar-benar "gentlemen", seseorang yang tidak takutkan cabaran, lawan mahupun kegagalan. Beliau benar-benar anak jantan. Kerana sifat anak jantan memang wujud dalam budaya orang Kelantan. Kalau di sekolah dulu-dulu, siapa yang berani atau anak jantan, dia akan tunggu lawannya di pagar sekolah untuk menunjukkan keberanian anak Kelantan. Beliau juga seorang Melayu Jati yang tidak datang dari Pakistan, India, Jawa, Bugis, Myammar, Kemboja ataupun Filipina.

Hampir semua yang saya baca dalam buku tersebut menjurus kepada agenda dan tujuan blog saya ini kerana bagi saudara Zaid, beliau juga mahukan yang terbaik untuk Malaysia, kita tidak mahu diperintah oleh mereka yang korup dan tidak berkemampuan mentadbir.
Malaysia sepatutnya ditadbir oleh mereka yang berkebolehan dalam bidang masing-masing tanpa mengira warna kulit dan agama.
Kalau Amerika kita katakan mengamalkan diskrisminasi warna, mengapa Presiden mereka berkulit gelap?
Kalau British kita kata mendiskriminasi kulit berwarna, mengapa Peguam Negara mereka berkulit gelap?
Mengapa tidak boleh orang lain selain Melayu menjadi Perdana Menteri atau memegang jawatan penting dalam kerajaan? Apakah yang ditakuti oleh UMNO? Sememangnya kata-kata Zaid sangat tepat, yang ada sekarang ialah pemimpin yang tidak dinamik, tidak mampu mentadbir, hanya mampu mengampu...
Hanya meritokrasi yang mampu menyelamatkan ekonomi dan kestabilan politik negara, semua dasar yang ekstrem yang mahu menegakkan keadilan satu kaum dan menjahanamkan kaum lain bukanlah satu dasar yang baik malah harus dihapuskan segera. Kita perlukan Doktor, Peguam, Pengajar, Penghibur, Penguatkuasa, Pengarah, Pensyarah dan semua pemimpin yang terbaik dan hapuskan segala dasar atau tuntutan yang ekstrem atau melampau.
Tuntutan-tuntutan melampau sama ada daripada orang Melayu, Cina atau India atau Kadazan atau Iban perlu dicantas demi perpaduan nasional.
Sampai bila rakyat Malaysia baru hendak sedar dari mimpi..bacalah buku "Saya Pun Melayu" tulisan Zaid Ibrahim.
Kalau Zaid Ibrahim tubuh satu parti politik baru, saya orang pertama mahu jadi ahlinya kerana sikap dan keikhlasannya untuk memajukan Malaysia melebihi kepentingan diri dan kaumnya sendiri. Inilah gaya Pemimpin sejati.

Sabtu, 15 Mei 2010

Apakah halatuju PERKASA?

Pemimpin Perkasa ialah seorang yang cuba memperjuangkan hak orang Melayu. Namun, pergolakan politik hari tidak lagi seperti di zaman penjajahan di mana seorang pemimpin selalu menggunakan sentimen perkauman, kenegerian dan agama sebagai alat untuk mendapatkan sokongan. Sama ada hasutan-hasutan ini suatu propaganda murahan atau tidak, ia ternyata boleh membangkit perasaan marah dan benci di kalangan rakyat yang berpendidikan rendah/ tidak panjang akal.

Hari ini, apa jua tindakan seseorang pemimpin politik itu haruslah berdasarkan konsep "menang-menang". Tidak ada lagi mereka yang mahu pergi berperang dan membunuh orang lain semata-mata kerana politik. Kalau ada pun mereka yang sanggup, jumlahnya sangat kecil. Perjuangan politik cara ini sudah lapuk. Ini kerana;

1. Sistem komunikasi sekarang lebih baik berbanding zaman dahulu di mana orang dahulu bertindak mengikut arahan tanpa usul periksa. Tetapi sekarang semua hanya di jari anda, tiada lagi pembohongan yang sewenang-wenangnya.

2. Perjuangan / peperangan secara fizikal yang boleh dilihat atau terbuka hanya memberi lebih simpati kepada pihak lawan.

3. Orang Melayu hari ini mendapat kerja yang baik, lebih baik daripada bukan melayu walaupun IQ tak seberapa kerana mendapat bantuan daripada MARA. UITM dan berpeluang melanjutkan pelajaran di IPTA , malah ke luar negara atas tajaan kerajaan (yang menggunakan wang cukai daripada bukan melayu). Maaf kerana terlalu berterus terang! Orang Melayu dapat membeli rumah lebih murah, tanah lebih murah dan peluang melabur saham pun ada. Namun ini bukan rahsia. Perkasa tentu tahu hal ini.

4.Pihak kerajaan di bawah pimpinan Najib kini bersifat lebih liberal dan bukannya bodoh untuk membiarkan Perkasa mengkucar-kacirkan agenda politiknya.

Insaflah wahai NGO-NGO yang extremis, kita hanya berkongsi pulau yang dinamakan "BUMI". Kalau kita mahukan yang terbaik untuk Bumi, kita perlu menjaga alam sekitarnya dengan baik. Jangan basahkan Bumi dengan darah, Bumi cukup luas untuk dikongsi bersama, Bumi juga bukannya untuk satu-satu bangsa dan keturunan. Perjuangan politik yang sempit hanya akan menjahanamkan Bumi, satu-satu pulau yang boleh didiami setakat hari ini.

Melayu perlu belajar menyalahkan diri sendiri sebelum menyalahkan orang lain yang hanya bersaing untuk kesinambungan hidup. Tiada manusia yang dapat memilih untuk menjadi apa-apa bangsa sebelum kelahiran mereka. Oleh itu, Manusia perlu dihormati kerana ilmu dan kebijaksanaan, bukan kerana warna kulit atau agama.

Saya tidak meminta agar dilahirkan sebagai bukan Bumiputera di Malaysia apatah lagi bersaing dengan orang Melayu yang rata-rata kawan saya, tetapi saya tidak mahu ditadbir oleh orang yang lemah /tidak berpendidikan/ malas/ korup dan tidak cekap. Saya tidak kisah kalau semua ahli kabinet kerajaan itu Islam dan berketurunan Melayu asalkan mereka mengamalkan Meritokrasi dan bukan kronisme/ nepotisme, mereka perlu membuktikan bahawa mereka benar-benar layak dan benar-benar berilmu. Sejarah Islam sendiri mengajar tentang buruknya amalan Assabiyah, tetapi mengapakah kita tidak boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi di negara ini?

Selain itu, janganlah cuba memaksa kita memeluk Islam. Biarlah yang kafir ini masuk neraka kerana bagi yang kafir Bumi inilah syurga mereka. Ahli Pemikir dari China pernah berkata "kalau kita tak suka orang lakukan sesuatu ke atas kita, kita jangan lakukan perkara yang sama ke atas orang lain". Itu baru adil. Bumi bukan sekadar persinggahan, ia suatu tempat yang perlukan keamanan dan kemakmuran berpanjangan sebelum kita menghembuskan nafas terakhir. Kalau Perkasa rasa Malaysia bukan "rumah tetap" anda, tolonglah jangan menghancurkannya hanya kerana di sini bukan syurga anda.

Selasa, 16 Mac 2010

Pengajian Moral di sekolah?

Mengapa hanya bukan Melayu yang perlu belajar moral? Moral baik untuk semua...Mengapa tidak semua subjek duniawi di sekolah-sekolah diseragamkan agar lahirnya satu budaya yang sama dalam satu Malaysia?

Satu Malaysia memerlukan satu bahasa, satu budaya dan satu moral kerana semuanya berlandaskan nilai-nilai murni satu-satu bangsa. Agama tidak mungkin disatukan tetapi ajaran moral boleh disatukan menjadi nilai-nilai penting yang perlu ada pada seseorang insan yang bergelar warganegara.

Kementerian Pelajaran perlu menilai semula peranan agama di sekolah-sekolah. Kalau agama itu penting, ia sepatutnya diasingkan daripada subjek peperiksaan kerana soal agama terlalu sensitif untuk dibincangkan di sekolah-sekolah. Bagaimana seorang ustaz boleh mengutuk agama lain di sekolah yang berbilang bangsa atau mengecap orang bukan Melayu sebagai kafir di hadapan murid-murid berbilang bangsa?

Kalau kerajaan ingin memupuk satu sekolah, satu bangsa maka subjek agama atau kelas agama perlu diasingkan daripada sekolah sekular. Ia sepatutnya menggunakan subjek moral untuk mendidik nilai-nilai baik dan murni seorang warganegara. Biarlah sekolah agama mengurus subjek agama.

Kepentingan perpaduan lebih penting daripada kepentingan agama kerana itu subjek agama perlu dicantas segera untuk menarik mereka bukan Islam untuk belajar di sekolah kebangsaan.
Selagi sekolah kebangsaan mempunyai subjek agama, ia menjadi salah satu penghalang ke arah perpaduan Nasional.

Begitu juga sekolah Vernikular yang menekankan bahasa Cina / India sebagai bahasa pengantara, semua ini hanya akan melebarkan jurang bahasa antara kaum kerana orang Cina, cakap Cina, orang India cakap India dan orang Melayu cakap Melayu. Bahasa adalah simbol perpaduan negara, macam mana nak menyatukan bangsa kalau bahasa pun berbeza. Tersilap dengar pun boleh menyebabkan pergaduhan antara kita.

Bangunlah segera wahai Barisan Nasional, sistem lama tidak berguna. Sikap berlindung di sebalik quota dan amalan menagih simpati tidak boleh membantu memajukan bangsa dan negara. Agama hanya satu alat manusia, agama dijadikan alasan untuk berperang dan membunuh antara satu sama lain, kalau kita mengenepikan agama demi perpaduan, kita boleh lebih maju ke hadapan. Dunia pun lebih aman.