Sabtu, 16 Mac 2013

Perpaduan hanyalah slogan politik

Selagi Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain tidak bersatu, selagi itu Barisan Nasional masih relevan.  Kita tidak boleh sekolah bersama, makan bersama, main bersama, tinggal bersama, apatah lagi tidur bersama.
Mungkin anda tidak faham kerana anda tidak pernah mengkaji sejarah politik Negara ini.
Semua dasar yang ada adalah peninggalan British. Kita masih menggunakan sistem yang sama di mana semua kaum tidak boleh dibiarkan bersama.

Mamat hendak ke sekolah agama atau sekolah kebangsaan, Ah Kow mestilah ke sekolah Cina dan Muthu pula mestilah ke sekolah Tamil. Akhirnya Mamat akan menjadi ketua di sekolah Melayu, Ah Kow Ketua Murid di sekolah Cina dan Muthu pula menjadi pemimpin kawan-kawan India. Dengan itu, semua akan masing-masing mengikut Parti yang seagama, sekulit dan sebulu dengannya. Maka inilah yang diperlukan untuk BN kekal relevan.

Mengapa ketua kaum Cina melaung-laung meminta peruntukan sekolah Cina ditambah? Bagai orang mengantuk disorongkan bantal. Begitulah jahilnya rakyat Malaysia. Mintalah sekolah mengikut kaum apa pun, BN pasti luluskan. Sekolah Singh, sekolah Iban, sekolah Kadazan biarpun sekolah Siam. Selagi rakyat tidak bersatu, maka sampai bila-bila Malaysia kekal dijajah, bukan oleh orang asing tetapi oleh dasar penjajah yang masih diguna sampai hari ini.

Siapa yang tubuh Mahkamah Syariah? Siapa yang tubuh Majlis Raja-Raja? Siapa yang melantik Kapitan Cina? Siapa yang melantik Ketua-ketua kaum? Semua badan-badan ini hanya alat untuk mengawal pergerakan kaum-kaum di Negara ini. Untuk menyatu mereka dibawah payung-payung kecil yang mudah dikawal.

Sampai bila kita mahu begini? Kita tidak boleh ditadbir oleh satu-satu kaum, kita mesti ditadbir oleh mereka yang berkebolehan dan berkaliber, tak kira dia tu Melayu, India atau Cina atau namanya mungkin Samy, Ah Lim atau Obama.

Bangunlah wahai kawan, kita perlu perubahan, tak perlulah berpuak-puak. Semua NGO yang mewakili kaum hanyalah sendiwara politik, bukan satu-satu kaum yang tertindas, kita semua yang tertindas, tertipu dengan slogan dan mainan politik...

Saya mahu melihat suatu hari kita akan ada satu sekolah untuk semua bukan lagi sekolah Melayu, Cina, India. Supaya suatu hari nanti kita akan berkawan bukan kerana kulit dan agama tetapi kerana percaya dan yakin dengan persahabatan yang terjalin sejak di zaman sekolah. Kita akan mengangkat pemimpin-pemimpin tulen yang berwibawa mentadbir Negara ke arah kesamarataan dan kemakmuran sejagat melalui meritokrasi dan bukannya warna kulit.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...


Saudara Awang,

saya sangat bersetuju dengan artikel ini.

Saya fikir, kunci perpaduan adalah bahasa. Bagaimanapun kalau dalam keadaan sekarang, saya tidak pasti sampai bila kita boleh bersatu sebagai rakyat Malaysia.

Dong Zhong misalnya begitu melindungi bahasa Mandarin hingga seakan-akan memingiirkan bahasa Melayu di sekolah vernacular.

bacalah buku tulisan Rita Sim, Unmistakably Chinese, Genuinely Malaysian yang menyebut 90 % orang cina tidak berhubung dengan non chinese speaking population dan 90% orang cina tidak fasih berbahasa Melayu dan mereka ini orang Malaysia.

soalnya, di mana kedudukan diri kita sebagai warga Malaysia kalau kita tidak tahu bahasa rasmi negara ini yang sah di sisi perlembaagaan?

kawan-kawan Cina saya (yang kaya raya) mereka menghantar anak ke sekolah antarabangsa. Sebabnya, mereka mahu anak mereka tahu apa itu perpaduan.

90 % pelajar sekolah vernacular adalah cina, 90 % pelajar sekolah kebangsaan adalah Melayu.

jadi, di mana perpaduan? * Anita

Tanpa Nama berkata...

Tengoklah menteri menteri kita, di mana mereka hantar anak-anak mereka bersekolah...sekolah biasa tiada nilai komersil.